Universiti Sains Malaysia

English

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

Dalam bulan Ogos ini banyak berlangsung upacara pentauliahan pasukan berpakaian seragam dalam kalangan mahasiswa universiti di negara ini seperti pentauliahan Pasukan Latihan Simpanan Tentera Darat, Laut dan Udara (PALAPES), Pasukan Sukarelawan Polis (SUKSIS) dan yang terkini Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa-siswi Jabatan Pertahanan Awam (SISPA) yang kesemuanya melibatkan lebih dari 3,000 orang sukarelawan dalam kalangan anak-anak muda kita.

Tentunya acara-acara ini amat signifikan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang ada, apatah lagi simboliknya acara ini dilakukan menjelang sambutan kemerdekaan negara hujung bulan ini yang bertemakan Sehati Sejiwa.

Sekaligus ini menggambarkan betapa pentingnya anak-anak muda bersatu hati dalam mempertahankan kedamaian dan kesejahteraan negara yang disayangi ini. Penglibatan di dalam aktiviti seperti ini memberi peluang untuk mereka mendisiplinkan diri dan menggunakan kemahiran yang diperolehi dalam mempertahankan negara ini dari musuh yang kita nampak mahu pun yang tidak kelihatan di mata kasar.

Hakikatnya kita lebih banyak berhadapan dengan musuh yang tidak jelas kelihatan ini. Musuh yang menanam kebencian dan mencari segala salah silap kita, melaga-lagakan sesama kita malah juga menabur fitnah melalui pelbagai cara termasuk media sosial tanpa berasaskan data dan fakta sebenar atau hanya melihat dari sisi yang diinginkan mereka semata-mata.

Kemahiran menangani musuh seperti inilah yang perlu dikuasai sekarang ini. Kemahiran untuk menangkis dan menentang segala tohmahan-tohmahan yang boleh menghancurkan negara pada akhirnya. Tohmahan-tohmahan dan strategi serangan psikologi atau psi-war yang menanam bibit kebencian, hilang kepercayaan malah juga membuatkan kita memandang rendah kepada sesuatu kumpulan apabila yang difokuskan hanyalah segala ketidakupayaan yang ada, atau sisi lemah yang boleh membuatkan dengan mudah mereka menuding jari dalam menghadapi sesuatu isu dengan menggunakan stereotaip yang dibangunkan secara berterusan.

Pelajar, mahasiswa universiti perlu memandang serius terhadap perkara ini dan kita mengharapkan mereka yang berada dalam komuniti akademik, komuniti ilmuan dan komuniti cendekiawan sentiasa mempertahankan prinsip kebenaran yang berasas dan berteraskan kepada fakta dan angka yang benar dan tepat yang datangnya dari sumber yang juga benar dan tepat serta dalam perspektif yang juga benar dan tepat. 

Nilai-nilai akademia yang bertunjangkan kepada kebenaran ini harus menjadi paksi kepada warga pendidikan untuk melihat sesuatu itu dalam konteks dan perspektif yang betul, bukan menerima bulat-bulat apa yang ditaburkan dan diberi melalui sumber yang tidak sahih.

Kita sentiasa percaya bahawa anggota pasukan berpakaian seragam haruslah sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan dan kekuatan diri dalam menghadapi musuh seperti ini, malah perlu menjadi ‘role model’ dalam mempertahankan nilai-nilai murni masyarakat, mempertahankan adab dan tatasusila bangsa dan negara, malah juga menjadi contoh sebagai mereka yang berpegang teguh kepada Rukun Negara dengan 5 prinsip asasnya.
Inilah semangat Hari Kebangsaan, semangat Sehati Sejiwa rakyat dan warga negara ini dalam mempertahankan kedaulatan negara. Sehati Sejiwa dalam membantu dan menolong orang lain dalam semangat kesukarelawanan. Sehati Sejiwa untuk melakukan kebaikan dan kebajikan untuk anggota masyarakat merentasi apa jua perbezaan yang ada. Sehati Sejiwa dalam menghormati kepelbagaian yang ada. 

Lihat sahaja bagaimana kejadian-kejadian di pelbagai negara dan rantau dunia yang bermula dengan usaha gigih menanam sikap kebencian dengan melaga-lagakan sesama rakyat atas nama apa jua pun, yang akhirnya mengorbankan segala yang ada apabila perasaan sehati sejiwa itu telah tiada. Kita juga sedar dan dapat melihat dengan mata kepala, hati dan aqal budi terhadap pelbagai kemusnahan di pelbagai negara yang berpunca dari usaha berterusan seperti ini.

Kita dapat melihat sesetengah negara mengambil masa bertahun-tahun untuk bangun semula. Malah di sesetengah negara amat payah untuk bangun berdiri. Kita melibat bagaimana kumpulan-kumpulan tertentu dinafikan hak mutlaknya malah terdapat juga yang yang terpaksa melarikan diri di negara asing, menjadi pelarian dan terpaksa memohon belas ehsan untuk meneruskan kehidupannya.

Kita perlu prihatin dengan kekuatan jati diri anak-anak muda dalam mempertahankan apa yang kita ada melalui ilmu pengetahuan sebagai teras utama universiti. Di USM misalnya usaha gigih untuk mendidik dan menjalankan penyelidikan demi kesejahteraan dan kedamaian masyarakat sejagat telah zahirkan melalui Unit Penyelidikan Pendidikan Perdamaian yang telah lama ada di USM ini. 

Malah kita menyokong kuat apa jua usaha untuk memperkasakan anak-anak muda kita melalui kegiatan pasukan berpakaian seragam dalam kalangan mahasiswa mahu pun warga lainnya termasuk para ahli akademik dan pentadbir. Kita perlu terus seia sekata dalam membangunkan negara. Kita perlu sehati sejiwa dalam mempertahankan kedaulatan tanah air yang satu ini.

Utusan Malaysia, 21 Ogos 2015

http://www.utusan.com.my/rencana/sehati-sejiwa-membangun-negara-1.126769  

Dato’ Dr. Omar Osman


Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

Site URL: 
#https://www.usm.my